Sunday, December 13, 2015

Khasiat kismis

Kismis kaya dengan garam mineral dan vitamin-vitamin yang baik untuk tubuh. Antaranya ialah:
Garam mineral
  • Magnesium – baik untuk sistem saraf, fungsi otot dan penukaran gula kepada tenaga.
  • Kalsium dan fosforus – membina tulang dan gigi yang baik.
  • Zat besi – membantu pembinaan sel-sel darah merah dan tisu-tisu badan yang rosak.
  • Kalium – mengoptimum kadar denyutan jantung supaya sentiasa normal dan mengekalkan tekanan darah.
Vitamin-vitamin
  • Vitamin C – Penting untuk pembentukan kolagen dan penyerapan zat besi ke dalam badan.
  • Vitamin B6 – Mencegah pengekalan air dan membolehkan penukaran karbohidrat kepada tenaga.
  • Vitamin K – Diperlukan untuk pembekuan darah yang normal dan sintesis protein yang terdapat di dalam plasma, tulang, dan buah pinggang.
  • Folat – Membentuk sel-sel darah merah dan penting dalam peredaran darah ke seluruh tubuh.
  • Riboflavin – membantu dalam pelepasan tenaga untuk sel-sel badan dan membolehkan pemecahan lemak di dalam badan
Makanan untuk otak

Salah satu manfaat kismis yang menarik adalah ia baik untuk kecerdasan minda. Kismis mengandungi kandungan mineral surih bernama boron yang merupakan mineral penting untuk fungsi otak yang baik. Boron mampu meningkatkan penumpuan, koordinasi tangan dan mata serta meningkatkan memori. Selain itu, boron juga membantu menggalakkan fungsi mineral penting seperti kalsium dan magnesium.

Membantu mengurangkan sembelit.
Serat yang tinggi dalam kismis adalah sangat bermanfaat untuk fungsi sistem pencernaan berjalan dengan lancar. Satu cawan kismis mengandungi kira-kira 10 g serat yang boleh membantu tubuh badan anda dari bahan-bahan toksik yang berbahaya dengan membersihkan kolon atau usus dan melawaskan pembuangan air.
Selain itu, kismis juga mempunyai manfaat-manfaat lain seperti:
  • Melindungi hati
  • Melawan bakteria mulut yang menyebabkan pereputan gigi.
  • Membantu sebagai penerang hati
  • Membantu mengurangkan stress
  • Membantu merawat penyakit anemia
  • Membantu merawat masalah pelupa
Kebaikan kismis menurut perspektif Islam.

Kismis sememangnya sinonim dengan pelajar-pelajar yang menuntut di seolah tahfiz dan pondok. Ini kerana sudah sekian lama, ulama-ulama dahulu sudah mengetahui kebaikan kismis ini kerana ia baik untuk hafalan dan kecerdasan minda.
Kismis dibacakan dengan ayat-ayat suci al-Quran untuk memudahkan pelajar mendapatkan zat-zat yang diperlukan untuk otak, malah juga boleh menerangkan hati.
Membaca al-Quran adalah di antara salah satu cara untuk meningkatkan kecerdasan otak. Di antara surah-surah yang boleh diamalkan adalah:
  • Baca ayat 25 – 28, Surah Taha sebanyak 21 kali setiap hari selepas Solat Subuh bagi kecerdasan otak, akal yang sempurna, menguatkan daya ingatan dan menambah ilmu pengetahuan.
  • Baca surah al-Hasyr ayat 21supaya mudah mengingat apa yang dibaca.
  • Membaca surah al-Insyirah 11 kali selepas solat Subuh.
  • Membaca surah al-Anbiya ayat 79 sebelum matahari terbit sebanyak 10 kali.
  • Membaca Bismillah enam untuk menerangkan hati dan mencerahkan akal.
Kismis sememangnya baik untuk kesihatan. Jika anda gemarkan snek yang berkhasiat, cuba tukar menu anda dari makanan ringan seperti coklat dan dan gula-gula kepada kismis. Ia bukan sahaja sedap malah mengenyangkan.

Keajaiban khasiat kismis. 

Menurut Pakar Pembangunan Kanak-Kanak di sebuah hospital tempatan, Ruth Liew, ramai yang semakin lupa bahawa, kismis mempunyai kandungan gula daripada buah yang asli. Ia mampu memberi tenaga yang konsisten kepada kanak-kanak.

“Memang gula-gula mampu memberi tenaga yang lebih, tetapi ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hiper dan menjadi lemah apabila kandungan gula itu mula merosot.

“Berlainan dengan kismis, dengan kismis, kanak-kanak akan dapat tenaga yang seimbang dan menyihatkan badan.

“Ia juga makanan ringan yang lebih baik daripada gula-gula. Gula-gula boleh meninggalkan kesan kerosakan pada gigi kanak-kanak dan tenaga yang diperoleh juga tidak sekata,” jelas Ruth pada satu sesi penerangan tentang kebaikan kismis kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, kanak-kanak masa kini tidak lagi gemar dengan makanan yang terlalu pelbagai, sebaliknya mereka lebih gemar makanan yang lebih santai. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu menjadikan kismis sebagai snek makanan ringan untuk anak-anak yang masih bersekolah.
Tambah Ruth, untuk menjadikan kismis sebagai snek ringan kepada anak-anak, ibu bapa perlu memainkan peranan.
Bagi kanak-kanak atau golongan remaja yang sudah biasa atau gemar menikmati kismis begitu sahaja, ia bukan satu masalah lagi kepada ibu bapa.

“Bila mereka tengok TV, jangan bagi mereka kuaci atau keropok sebaliknya beri mereka kismis. Bekalkan juga kismis ketika ke sekolah,” katanya.

Namun, jika ada yang tidak gemar menikmati kismis dalam bentuk mentah, ia boleh dicampur dalam pelbagai hidangan lain dengan cara mempelbagaikan makanan yang dicampur dengan kismis dalam hidangan waktu pagi, petang dan malam.

“Mereka mungkin tidak akan memilih kismis, tetapi ibu bapa perlu tahu khasiatnya. Terus beri galakan kepada anak-anak dengan mempelbagaikan masakan.

“Anda boleh campur kismis ke dalam bubur, sup, atau sayur-sayuran yang biasa dimakan anak-anak,” kata Ruth yang mengakui ia juga boleh diamalkan dalam diet orang dewasa.
Ruth yang menerima reaksi daripada ibu bapa yang memberi kismis kepada anak-anak juga memberitahu, hasil yang diperoleh amat positif.
“Ada ibu bapa mula mempelbagaikan cara pemakanan dan ada juga yang memberi kismis seperti memakan vitamin setiap hari.
“Malah, ada juga anak-anak yang gembira dengan amalan makanan anggur kering itu,” jelas Ruth yang turut mengamalkan memakan kismis sejak kecil lagi.
Dalam Islam, kismis sudah lama disaran untuk pemakanan kanak-kanak kerana ia adalah makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius.

Menyedari kebaikan kismis dan kemampuannya menjadi snek dalam makanan kanak-kanak, masyarakat Barat turut mula mengambilnya dalam diet mereka.

Penelitian Christine D.Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi.

Antara antioksidan itu adalah asid oleanolic, oleanolic aldehyde, betulin, asid betulin dan 5-(hydroxymethyl)-2-furfural.

PENCUCI mulut daripada kismis.

Asid oleanolic mampu menghambat pertumbuhan dua spesies bakteria penghuni mulut iaitu streptoccus mutan, penyebab plak dan kerosakan gigi serta porphyromonas gingivalis, penyebab penyakit periodontal.

Sementara itu, pakar pemakanan dari sebuah hospital swasta, Tan Yen Sing, berkata, kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.
“Malah, khasiat daripada kismis juga boleh mengurangkan risiko strok dan melemahkan perkembangan penyakit-penyakit organ dalam badan.

Selain itu juga, kismis mengandungi fiber dan asid tartaric. Ia juga baik untuk kesihatan tulang dalam badan anda.

Katanya, kismis mempunyai banyak khasiat pemakanan, serat, antioksidan, vitamin dan kalium yang merupakan nutrien penting untuk badan.

“Saya menafikan memakan kismis akan membuatkan anda gemuk. Ia adalah mitos. Ini kerana, manis yang ada pada kismis adalah manis buah-buahan yang asli.
“Ia juga mudah untuk dibawa dan boleh dipelbagaikan dalam masakan seisi keluarga,” ujar Tan Yen Sing
Share:

0 comments:

Post a Comment

Konsultan Qaseh

Konsultan Qaseh

Social Icons

Labels

Followers

Featured Posts